ASSALLAMMUALAIKUM

AKTIVITI SURAU AL-HIDAYAH SEPANJANG BULAN INI...* LAWATAN UNIT PENDIDIKAN ISLAM PPD KMY..*...*LAWATAN SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM PADA 26 OGOS 2014..*..*LAWATAN KETUA SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM TUAN HJ MOHAMAD ZAKI HUSIN PADA 27 OGOS 2014..*..*BACAAN YAASIN PERDANA MURID TAHUN 6 BERSAMA WARIS, PADA PUKUL 3 PETANG BERTEMPAT DI SEKOLAH KEBANGSAAN TASEK APONG..**

TAZKIRAH







Suatu hari, Imam al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam al-Ghazali bertanya.
1 – Pertama, “Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?”
Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya. Imam al-Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah “mati”. Kerana mati itu janji Allah SWT. Janji Allah Ta’ala bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Surah Ali Imran: 185)
2 – Lalu Imam al-Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. “Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”
Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah “masa lalu”. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Islam
3 – Lalu Imam al-Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. “Apa yang paling besar di dunia ini?”
Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam al-Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah “nafsu”.
Nafsu yang menguasai diri menyebabkan manusia gagal menggunakan akal, mata, telinga dan hati yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala untuk hidup berlandaskan kebenaran.
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah Al-A’araaf: 179)
4 – Pertanyaan keempat adalah, “Apa yang paling berat di dunia ini?”
Ada yang menjawab baja, besi dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam al-Ghazali, tapi yang paling berat adalah “memegang amanah.”
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” ( Surah Al-Ahzaab: 72 )
Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya sanggup terima permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia dimasukkan ke dalam neraka kerana tidak mampu memegang amanahnya.
5 – Pertanyaan yang kelima adalah, “Apa yang paling ringan di dunia ini?”.
Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam al-Ghazali, tetapi yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan solat. Ramai dalam kalangan kita, kerana kerja, kerana urusan dunia, kerana hiburan, kita tinggalkan solat. Sedangkan tuntutan solat itu yang lebih utama.
6 – Lantas pertanyaan ke enam adalah, “Apakah yang paling tajam di dunia ini?”.
Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang. Benar kata Imam al-Ghazali, tapi yang paling tajam adalah “lidah manusia”. Kerana, dengan lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.
والله أعلمُ بالـصـواب





Membatalkan pahala orang Islam boleh termasuk perbuatan takfir
 Abu Omar, Idris bin Sulaiman
( Teks disediakan berdasarkan petikan rakaman kuliah Syarah Al-Sunnah, Perkara 20, Bab Beriman Dengan Syafaat Bagi Orang Berdosa yang Bersalah: http://www.mediafire.com/?7x0hl8dy2kl2zks )

Terdapat golongan yang menyimpang di dalam masalah memahami maksud Syafaat. Golongan yang dimaksudkan ini adalah golongan Khawarij dan Muktazilah, di mana bagi mereka, orang-orang Islam yang melakukan dosa besar tidak layak mendapat Syafaat di Hari Akhirat kelak, tidak kira daripada sesiapa pun.
Mereka mengingkari Syafaat bagi orang-orang Islam yang melakukan dosa-dosa besar dan kemaksiatan. Ini kerana memang prinsip mereka bahawa pelaku dosa-dosa besar itu jatuh kafir. Maka jelas, kalau seseorang itu jatuh kafir, memang orang-orang kafir itu tidak layak mendapat Syafaat.
Di sini timbul perselisihan di antara Ahli Sunnah wal Jamaah dengan Khawarij dan Muktazilah; adakah pelaku-pelaku dosa besar itu jatuh kafir? Saya melihat bahawa perselisihan ini berlaku secara terus menerus. Bahkan baru-baru ini ada satu kenyataan dari seorang tokoh Tuan Guru kita di mana kenyataannya itu membawa kepada takfir sebenarnya. Cuma kenyataannya itu pusing kanan sikit, pusing kiri sikit, tidak nampaklah takfir itu secara jelas.
Kita tidak mahu masuk dalam politik, tetapi kita katakan bahawa kenyataannya itu adalah kenyataan yang berunsur Khawarij, di mana dia mengatakan lebih kurang bahawa “Solat orang Umno tidak dapat pahala.”
Apa maksudnya itu? Kalau kita perhati dan faham betul-betul, itu adalah kenyataan mengkafirkan. Kenapa? Solat orang Umno (orang Islam) tidak bawa pahala, bila tidak bawa pahala bererti solatnya tidak sah.
Timbul persoalan di sini kenapa tidak sah? Adakah dia membicarakan tentang syarat-syarat sah solat tidak cukup, adakah orang Umno solat tidak ambil wudhuk, tidak menghadap kiblat, tidak menutup aurat? Adakah dia membincangkan tentang itu?
Jawapannya tidak. Tetapi jawapan yang dia sebut ialah orang Umno tolak Islam, orang Umno beramal dengan perlembagaan sekular. Dengan erti kata orang Umno tidak berhukum dengan hukum Allah. Dan ini memang Syiar orang Khawarij, iaitu barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adalah orang-orang kafir.
Nampak bahawa fahaman orang-orang Khawarij dan Muktazilah terus berkembang subur, terus ada di kalangan orang-orang Islam sehinggalah ke hari ini bahkan sehinggalah ada di negara kita slogan-slogan dan kenyataan-kenyataan mereka.
Jadi apakah hujah orang-orang Khawarij dan juga Muktazilah yang mengingkari Syafaat bagi pelaku-pelaku dosa besar dari kalangan orang Islam? Di antara hujah mereka adalah Surah Al-Muddatstsir ayat ke-44 di mana Allah Subhanahu wa Ta’alaberfirman,
فَمَا تَنْفَعُهُمْ شَفَاعَةُ الشَّافِعِينَ

“Maka tidak akan berguna kepada mereka Syafaat dari orang-orang yang memberikan Syafaat.” (Surah Al-Muddatstsir, 74: 48)
Mereka mengatakan bahawa tidak akan berguna Syafaat atau pertolongan sesiapa pun kepada mereka. Orang-orang Khawarij mengertikan bahawa ‘mereka’ di dalam ayat ini adalah pelaku-pelaku dosa besar. Maka terkena pada pelaku dosa besar ayat dalam Surah Al-Muddattsir ayat ke 48.
Sedangkan adakah begitu maksud ayat ini? Tidak, sebaliknya ayat ini adalah khas buat orang-orang kafir. Maka akhirnya ayat yang diturunkan ke atas orang kafir, mereka mengadaptasikannya ke atas orang-orang Islam.
Ini bahaya pemikiran orang-orang Khawarij. Mereka mengkafirkan orang-orang Islam, bahkan sehingga menghalalkan darah mereka, menghalalkan harta mereka, dan sudah tentulah membatalkan amal ibadah mereka dengan sewenang-wenangnya atas alasan bahawa mereka telah jatuh kafir kerana tidak berhukum dengan hukum Allah.
Wallahu a’lam




Hukum menyapu atau mengelap sisa air pada anggota wudhuk
Abu Omar, Idris bin Sulaiman



Soalan: Benarkah selepas mengambil wuduk tidak boleh dilap/disapu air wudhu tersebut? kerana air wuduk yang menitik itu menghapuskan dosa-dosa kecil?
Jawapan:


Dibenarkan menyapu/mengelap anggota yang basah selepas wuduk. Ia bukan makruh apatah lagi haram. Tidak ada dalil yang melarang dalam hal ini.
Adapun peristiwa isteri Rasulullah Maimunah menghulurkan kain sapu kepada Rasulullah sallalahu alaihi wasallam tetapi Baginda tidak mengambilnya sebaliknya Baginda sekadar menyapu saki baki air dengan tangannya (Bukhari dan Muslim); hadis ini tidak menunjukkan bahawa perbuatan menyapu air wuduk dengan kain adalah makruh. Bahkan terdapat kebarangkalian bahawa perbuatan Maimunah menghulurkan kain sapu kepada Baginda menunjukkan bahawa ia dibolehkan. Kerana jika tidak boleh, masakan dia akan berbuat begitu.
Walau bagaimanapun, apa yang dapat dikatakan adalah asal sesuatu itu adalah harus selama mana tidak ada larangan. Termasuklah dalam permasalahn ini. Maka hukum menyapu anggota wuduk selepas wuduk adalah harus.
Adapun alasan mengatakan ia adalah dilarang kerana air wuduk yang menitik itu menghapuskan dosa-dosa kecil; hal ini perlu kepada pembuktian. Sekiranya ia adalah hadis, maka hendaklah ia disabit sahih sebelum dapat diterima dan dijadikan amalan.
Walau bagaimanapun, tidak ada hadis yang sahih tentang hal ini.
Sekian.
Kajang, 05 Februari 2013

No comments:

Post a Comment